Assalammualaikum sahabat-sahabat sekalian dan salam sejahtera,
Pertama sekali saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada sahabat Bob, atas daya usaha beliau, beliau berjaya mengadakan satu laman interaktif ( blog ) Taman Mulia Aster untuk berfungsi sebagai satu cabang komunikasi antara kita semua. Saya berharap agar melalui blog ini juga kita dapat menyuarakan dan seterusnya menyampaikan apa saja cadangan, pandangan dan juga segala akviti yang telah atau yang akan kita laksanakan.
Blog ini adalah antara langkah yang kita ambil sebagai satu alat untuk kita bermomunikasi bagi mengeratkan lagi perhubungan sesama kita. Perpaduan tak akan tercapai tanpa adanya perhubungan yang baik dan akrab antara sesama kita. Dalam menyatukan komuniti Taman Mulia Aster, pelbagai langkah dan aktiviti kita aturkan melalui pelbagai Jawatankuasa yang telah dilantik. Namun begitu tanpa kerjasama, keprihatinan dan kesediaan kita semua untuk menjayakannya ia akan tinggal sebagai harapan.
Adalah penting untuk kita semua mencapai perpaduan. Taman Mulia Aster terdiri dari berbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya, namun jika dilihat dari sudut positif ianya adalah satu kelebihan dan bukannya ancaman yang boleh melonggarkan perpaduan kita. Malahan, kami semua Jawatankuasa yang ada percaya bahawa melalui kepelbagaian inilah Taman Mulia Aster dapat bergerak sebagai satu komuniti yang mempunyai nilai perpaduan dan seterusnya membentuik kesejahteraan di Taman kita.
Percayalah sahabat-sahabat semua, saya pernah berkata dan akan terus berkata, Taman kita HEBAT, sememangnya kita HEBAT, ini kerana kepelbagaian yang ada pada kita semua. Kita terdiri dari pelbagai bangsa, agama dan budaya malahan kepelbagaian latar belakang kita membentuk siapa kita, disitu kehebatan kita. Namun tanpa perpaduan kita akan rebah, tanpa perpaduan hilanglah kesejahteraan dan tanpa kerjasama dan keprihatinan kita semua hilanglah KEHEBATAN Taman Mulia Aster.
Oleh itu, saya mewakili ahli Jawatankuasa Taman Mulia Aster memohon agar marilah kita bersama-sama menjayakan aspirasi Taman Mulia Aster demi membentuk perpaduan dan seterusnya kesejahteraan sesama kita. Percayalah setiap insan ada kehebatannya jadi gunakanlah ia untuk kesejahteraan kita bersama.
Wassalam.
ROSELAN BIN MOHAMED
Yang Dipertua
Taman Mulia Aster