11 August 2009

INFO KESIHATAN:H1N1

Saya ingin meminta orang ramai supaya sentiasa mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan mengambil langkah-langkah berikut

  1. Bagi mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan Influenza A(H1N1) (Lampiran 1) diminta SEGERA mendapatkan rawatan. Rawatan anti-viral akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula.

  2. Bagi mereka yang mempunyai simptom yang ringan diminta untuk mendapatkan rawatan simptomatik. Mereka juga dinasihatkan untuk berada di rumah dan membatas pergaulan serta aktiviti di luar. Kebersihan diri dan etika batuk perlu sentiasa diamalkan. Sekiranya terpaksa keluar, pakai penutup mulut dan hidung (mask) jenis ‘three ply’ untuk mengurangkan penularan virus kepada orang lain.

  3. Berikan perhatian kepada tanda-tanda amaran seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk/kahak berdarah, muntah/cirit-birit yang kerap. Dapatkan rawatan SEGERA apabila mengalami tanda-tanda tersebut.

  4. Orang ramai diminta terus mengamalkan cara hidup sihat termasuk banyak meminum air, tidak merokok, makan secara sihat dan melakukan aktiviti fizikal. Amalkan langkah-langkah pencegahan H1N1 bagi mengurangkan penularan penyakit ini.

  5. Penutupan sesebuah sekolah atau institusi bergantung pada penilaian risiko yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah dan persetujuan bersama dengan pihak pengurusan sekolah atau institusi.

  6. Di hospital kerajaan, ujian pengesahan jangkitan influenza A(H1N1) hanya dibuat untuk kes-kes yang dimasukkan ke hospital sahaja..

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat melalui talian hotline yang beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang di talian 03-88810200 dan 03-88810300. Maklumat terkini juga boleh didapati daripada laman web Kementerian Kesihatan Malaysia http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my.

Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih di atas kerjasama orang ramai. Tindakan tepat anda dapat membantu kami memberi perkhidmatan yang berkesan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 10 Ogos 2009

No comments:

Post a Comment